Faedah² Telefon Bimbit kepada Manusia

 Nokia, Sony Ericsson, LG dan Samsung merupakan jenama telefon bimbit kegilaan masa kini. Kecanggihan alat komunikasi selaras perkembangan dunia teknologi menjadikan telefon bimbit satu kemestian bagi setiap orang terutama golongan remaja. Harga telefon bimbit yang semakin berpatutan mnejadikan semua orang mampu memilikinya. Persoalannya, apakah manfaat telefon bimbit kepada kehidupan masyarakat masa kini ?
Dari segi perhubungan, seorang pemilik telefon bimbit dapat menghubungi orang lain walau di mana dia berada. Sebelum terciptanya telefon bimbit, mereka terpaksa mencari telefon awam jika perlu menghubungi seseorang. Ada kalanya telefon awam didapati rosak. Dengan adanya telefon bimbit, si pemilik tidak perlu berbuat demikian lagi.
Sebaliknya, orang lain juga dapat menghubungi si pemilik telefon bimbit walaupun di mana sahaja dia berada. Dengan kata lain, apabila berlakunya sebarang kes kecemasan, peluang untuk seseorang menghubungi si pemilik telefon bimbitt adalah tinggi. Seseorang pemandu yang keretanya rosak umpamanya dapat menghubungi rakannya di tengah-tengah jalan untuk mendapatkan bantuan. Hal yang sedemikian tidak berlaku sebelum terciptanya telefon bimbit.   
Dalam bidang perniagaan, telefon bimbit memainkan peranan yang sangat penting. Peniaga dapat menghubungi pelanggannya dengan pantas dan mudah. Begitu juga apabila pelanggan ingin mendapatkan maklumat tentang sesuatu barangan dengan pantas. Cara komunikasi dua hala yang berkesan ini menyebabkan bidang perniagaan seperti insurans, penjualan terus, perkhidmatan pengangkutan, dan bidang-bidang perniagaan lain berkembang maju.
Secara keseluruhannya, penggunaan telefon bimbit telah menukarkan cara komunikasi manusia masa ini yang sibuk. Dalam apa jua keadaan sekalipun, telefon bimbit telah memudahkan corak komunikasi dalam kalangan semua lapisan masyarakat, tidak kira untuk tujuan apa sekalipun